14 July 2011

Dato Onn Jaafar





Dato Onn Jaafar (12 Februari 1895 - 19 Januari 1962). Beliau ialah pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Oktober 1946 tetapi tiga tahun kemudian, meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.
KEHIDUPAN AWAL 
Beliau dilahirkan di Bukit Gambir, Johor Bahru, Dato Onn ialah anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.
Dato Onn bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Disamping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, Dato Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.

KERJAYA POLITIK
Dato' Onn pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan.
Pada 1 - 4 Mac 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan untuk menentang Malayan Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini, sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Disebabkan Dato Onn amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu melantik beliau sebagai presiden pertama.
Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.
Datuk Onn kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951.
Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.
Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.

GARIS MASA
  • 1895: Dilahirkan di Bukit Gambir, Johor Bahru .
  • 1901 Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.
  • 1902 Ibunya Rugayah meninggal dunia
  • 1903 Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.
  • 1910 : 25 Mac kembali ke Johor dengan perawakan Barat.
  • 1910-1911 : Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar agar 'diMelayukan'.
  • 1911 : Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .
  • 1911 : Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah ( gadis Cina, anak angkat bapanya).Mendapat 4 anak dan isterinya meninggal dunia.
  • 1915 : Berkahwin kali ke-2 dengan Che Jamilah dan mendapat anak - Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.
  • Berkahwin kali ke-3 dengan Che Kah, seorang pelakon Bangsawan.
  • 1917 : Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat Leftenan.
  • 1919 : Berkahwin kali ke-4 dengan Halimah Hussein , janda adiknya.Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn.
  • 1920 : Bekerja semula di Pejabat Pnasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.
  • 1922 : Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.
  • 1923 : Pegawai di Pejabat Tanah Muar
  • 1924 : Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.
  • 1927 : Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.
  • 1927-1936 : Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.
  • 1930-1936 (umur 35) : Bertugas sebagai wartawan akhbar-akhbar Melayu di Singapura
  • 1934 (umur 39) : Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga.
  • 1936-1941 :  Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor
  • 1942 – 1945 : Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor
  • 1945-1946 : Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat
  • 1946-1949 : Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.
  • 1946 : Menganjurkan Kongres Melayu 1946
  • 1946-1951 (umur 51) : Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Oktober.
  • 1949 (umur 54) : Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.
  • 1951 Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).
  • 1951 (umur 56) : Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.
  • 1951 Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
  • 1954 (umur 59) : Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.
  • 1955 : Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955
  • 1959 : Ahli Dewan Rakyat - sebagai anggota pembangkang (dikatakan menyertai PAS).
  • 1959 (umur 64) : Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan.
  • 1962 (umur 67 ) : Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.






No comments:

Post a Comment

Post a Comment